Header Ads

  • Semasa

    PRU 14 : hasil kajian Invoke Malaysia BN akan hilang beberapa negeri, PAS bertambah malang!

    PRU 14 : hasil kajian Invoke Malaysia BN akan hilang beberapa negeri, PAS bertambah malang! | KUALA LUMPUR: Jika ramalan berpandukan data oleh Invoke Malaysia menjadi kenyataan, Pakatan Harapan akan menawan 5 negeri daripada Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14.


    Bagaimanapun, ramalan lebih mengejutkan oleh pertubuhan berkaitan PKR itu adalah PAS akan tewas di semua kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi, termasuk di kubu kuat mereka, Kelantan.

    Di satu forum semalam, pengasas Invoke Rafizi Ramli mendedahkan PH akan memenangi 89 kerusi Parlimen di Malaysia Barat, meletakkanya di hadapan 76 kerusi Parlimen yang dimenangi BN, sekiranya berlaku perlawanan pelbagai penjuru secara menyeluruh.

    Ramalan itu bagaimanapun tidak memasukkan kiraan di Sabah dan Sarawak.
    Menurut Rafizi, BN mengekalkan Terengganu dan Pahang tetapi berjaya merampas Kelantan daripada PAS selepas 28 tahun berusaha.

    “Sementara itu Negeri Sembilan dan Melaka akan tergantung dengan perwakilan sama banyak daripada BN dan PH di Dewan Undangan Negeri,” kata Ahli Parlimen Pandan itu.

    Keputusan juga menunjukkan PH akan mengekalkan Selangor dan Pulau Pinang, dan memasukkan Kedah, Johor dan Perak ke dalam senarai negeri yang dikuasainya.

    Sokongan bertambah
    Data Invoke juga menunjukkan sokongan kepada PH dalam kalangan orang Melayu, Cina dan India masing-masing 14.1%, 82% dan 40% setakat Februari 2018.

    Rafizi berkata sokongan itu menunjukkan peningkatan stabil setiap bulan sejak Disember. Beliau berkata apa yang lebih penting ialah tempoh 3 bulan yang sama menunjukkan penurunan sokongan orang Melayu kepada BN sebanyak 6% sejak Disember dari 41.1% kepada 28.5%.

    “Kali terakhir Umno hilang sokongan orang Melayu sebanyak ini adalah pada 1999. Satu gelombang besar sedang menuju,” katanya.

    Beliau menambah ada hubungkait antara penurunan sokongan kepada BN dan peningkatan pengundi atas pagar.

    Beliau menambah data menunjukkan ada jumlah pengundi atas pagar yang besar, sekitar 30% hingga 35%, tetapi ada kemungkinan mereka akan menyokong PH.

    Naib presiden PKR itu berkata ramalan itu berdasarkan kerusi selepas persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya, yang dibentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.
    “Jadi, jika Najib teruskan pembentangan cadangan SPR di Dewan Rakyat, kita bersedia,” katanya.
    Rafizi berkata ramalan keputusan PRU14 tidak memasukkan Sabah dan Sarawak kerana kesukaran memperoleh data yang diperlukan.

    Diminta memberikan anggaran, Rafizi berkata PH dan Warisan di Sarawak dan Sabah boleh menyumbang kira-kira 15 kerusi Parlimen, menjadikan kerusi keseluruhan pembangkang persekutuan antara 100 hingga 105 kerusi.

    Berdasarkan anggaran itu, ini bermakna BN akan kembali ke Putrajaya dengan anggaran 117 hingga 122 kerusi Parlimen.

    Kaedah
    Menjelaskan perkaedahannya, Rafizi berkata data untuk ramalan itu dikumpul sejak 2016 melalui pelbagai tinjauan Invoke melalui panggilan telefon, media sosial dan usaha sukarelawan antara lain.
    Tinjauan meliputi 24 strata pengundi, meliputi kaum berbeza, kumpulan umur, gender dan lokasi geografi, untuk pastikan data dari lapangan tidak hanya meliputi satu kumpulan orang tetapi kumpulan rakyat berlainan.

    Lebih 200,000 maklum balas dirakamkan dan 300,000 markah diperoleh melalui bancian digital, penjejakan media sosial, data bantuan kerajaan, daftar pemilih, tinjuan harian, data keahlian dan sebagainya. Margin ralat bagi tinjauan Invoke itu adalah antara 1.5% hingga 4%.

    Data itu membolehkan Invoke menjalankan satu regresi logistik untuk membina satu model ramalan bagaimana seseorang akan mengundi.

    Ramalan mengikut negeri
    Berikut ramalan keputusan bagi setiap negeri pada PRU14, mengikut kerusi Parlimen dan DUN, menurut Invoke Malaysia.

    Perlis – BN menang
    Kerusi Parlimen – BN (3) PH (0) PAS (0)
    Kerusi DUN – BN (13) PH (2) PAS (0)
    Kedah – PH menang
    Kerusi Parlimen – BN (5) PH (10) PAS (0)
    Kerusi DUN – BN (14) PH (22) PAS (0)
    Pulau Pinang – PH menang
    Kerusi Parlimen – BN (2) PH (11) PAS (0)
    Kerusi DUN – BN (5) PH (35) PAS (0)
    Perak – PH menang
    Kerusi Parlimen – BN (14) PH (10) PAS (0)
    Kerusi DUN – BN (27) PH (32) PAS (0)
    Selangor – PH menang
    Kerusi Parlimen – BN (2) PH (20) Pas (0)
    Kerusi DUN – BN (6) PH (50) PAS (0)
    Negeri Sembilan – Tergantung
    Kerusi Parlimen – BN (5) PH (3) PAS (0)
    Kerusi DUN – BN (18) PH (18) PAS (0)
    Melaka – Tergantung
    Kerusi Parlimen – BN (3) PH (3) PAS (0)
    Kerusi DUN – BN (14) PH (14) PAS (0)
    Johor – PH menang
    Kerusi Parlimen – BN (10) PH (16) PAS (0)
    Kerusi DUN – BN (27) PH (29) PAS (0)
    Pahang – BN menang
    Kerusi Parlimen – BN (9) PH (5) PAS (0)
    Kerusi DUN – BN (27) PH (15) PAS (0)
    Terengganu – BN menang
    Kerusi Parlimen – BN (8) PH (0) PAS (0)
    Kerusi DUN – BN (31) PH (1) PAS (0)
    Kelantan – BN menang
    Kerusi Parlimen – BN (14) PH (0) PAS (0)
    Kerusi DUN – BN (44) PH (1) PAS (0)
    Wilayah Persekutuan
    Kerusi Parlimen – PH (11) BN (1) PAS (0)

    Tiada ulasan

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad