Header Ads

Close
  • Semasa

    "Gara-Gara Lewat Solat Maghrib, Abah Potong Wayar TV"




    Posted: 17 Aug 2016 02:57 AM PDT


    Ramai yang bertanya, apa yang ibu bapa kami lakukan sehingga kami boleh melakukan kerja gila hari ini. Abang aku menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang berada di Gaza, Palestin. Beliau membuka NGO bersama From Gaza With Love untuk membantu rakyat di sana. Bayangkan, keadaan Palestin sekarang dan abang aku tinggal seorang diri di sana. 

    Terkini, beliau membuat satu lagi keputusan yang lebih gila apabila mengahwini seorang janda Palestin beranak lima ketika lelaki seusianya mengimpikan anak dara cantik jelita. 

    Aku membuka sebuah NGO bernama Tangisan Syria Di Bumi Jordan untuk membantu para pelarian Syria yang berhijrah ke Jordan. Dan untuk yang terkini, kami sudah mempunyai sebuah sekolah yang mampu menempatkan 120 orang kanak-kanak pelarian. 

    Kami menjaga 7-8 buah kem yang menempatkan 300 buah keluarga. Dan kami sudah mengagihkan mungkin lebih sejuta ringgit sumbangan orang ramai sejak ditubuhkan pada 2013. 

    Tidak, ini bukan post untuk berbangga diri tetapi hanya sekadar untuk berkongsi. Terutama kepada ibu yang sedang membesarkan anak atau remaja yang bakal berumah-tangga.

    Ada yang bertanya kalau-kalau Abi (ayah) atau Che (ibu) ada memberi kami 8 beradik sebarang vitamin semasa kami masih kecil. Seingat aku, Che dan Abi tidak pernah memberi sebarang vitamin sama ada di waktu kami bayi atau sebelum tadika. Aku tidak pasti. Tetapi ada beberapa perkara yang Che dan Abi gariskan semasa kami kecil sehingga kami menjadi seperti yang hari ini. 

    1. SOLAT 

    Solat adalah perkara yang paling dititikberatkan. Abi pernah sekali memotong wayar televisyen apabila kami lewat mengerjakan solat maghrib kerana leka menonton kartun Doraemon. Ya, Abi juga yang membaikinya tetapi kami tidak lagi menonton televisyen pada waktu maghrib semenjak peristiwa itu. 

    Che pula tidak pernah bosan bertanyakan kami tentang solat sebanyak lima kali sehari.

    2. WAKTU MENONTON TV TERHAD

    Televisyen hanya boleh ditonton apabila sudah solat dan kerja sekolah telah disiapkan. Biasanya kami boleh menonton televisyen selama sejam atau sejam setengah sehari. 

    Astro dipasang di rumah kami agak lewat. Apa pun, kami lebih enjoy menonton televisyen beramai-ramai cerita P. Ramlee misalnya. 

    Oh ya, televisyen diletakkan di dalam bilik Che dan Abi. Jadi yang tidak selesaikan kerjanya tidak boleh masuk semasa orang lain menonton. Tidak ada juga yang berpeluang curi-curi menonton televisyen pada waktu tengah malam.

    3. KOMPUTER

    Begitu juga dengan komputer, kami hanya dibenarkan bermain komputer apabila semua kerja telah diselesaikan. Satu kerjas jadual masa untuk kami bermain komputer akan dibuat. 

    Setiap orang yang ingin bermula bermain komputer perlu menulis jam berapa dia mula dan apabila selesaj sejam, kertas akan ditanda, menandakan masa untuk hari itu sudah habis. 

    4. TIADA KOMIK & GAME

    Kami tidak pernah merasa membeli komik seperti Kreko, Doraemon atau yang sewaktu dengannya. Kalau Abi terjumpa komik seperti itu di mana-mana, akan dibuang serta merta. 

    PS1, PS2, PS3, PSP? Hanya terjumpa dalam mimpi sahaja. Sedangkan televisyen pun kadang-kadang perlu dipegang aerialnya untuk mendapatkan siaran yang elok ketika Astro belum dipasang. 

    Che dan Abi juga cukup tidak suka jika kami pergi ke rumah kawan untuk bermain permainan di atas. 

    5. TIADA TELEFON BIMBIT 

    Kami tidak diberikan telefon bimbit sehinggalah masuk ke sekolah menengah. Itu pun telefon turun temurun daripada generasi sebelah atas. Telefon yang diberi biasanya kerana kami tinggal di asrama. Itu bagi memudahkan kami menghubungi Che dan Abi di rumah. Bukan telefon mahal, tetapi yang tiada warna jauh sekali yang boleh melayari internet. 

    Oh ya, salah seorang daripada kami tidak pernah mati kerana tidak mempunyai telefon bimbit. 

    6. HUBUNGAN ADIK BERADIK AKRAB

    Hubungan sesama adik beradik amat dijaga. Yang bergaduh akan cepat disuruh berpeluk dan bermaafan. Biasanya kami akan tergelak apabila disuruh berpelukan begitu. Acah-acah gelilah katakan. 

    Panggilan abang atau kakak kepada adik beradik yang lebih tua adalah diwajibkan. Kalau hanya panggil nama saha, anda tidak akan dilayan. Malah dari dulu hingga sekarang, kami 8 beradik tidak pernah menggunakan kata ganti nama "aku, kau' sesama kami. 

    7. BALIK RUMAH SEBELUM WAKTU 7 MALAM

    Kami bebas bermain di luar bermula selepas waktu asar dan wajib berada di rumah sebelum jam 7 malam. Jika balik pada jam 7.01 malam, Che atau Abi akan menunggu di depan pintu dengan rotan. Atau lebih teruk, kami akan duduk di luar sehingga dibenarkan masuk. Biasanya selepas isyak. Oh ya, keesokkannya kami akan grounded. 

    Grounded atau denda tidak boleh keluar rumah sehingga dimaklumkan adalah perkataan yang paling ngeri keluar dari mulut Che suatu ketika dahulu. Sesiapa yang rounded hanya mampu melihat adik beradik yang lain keluar bermain dari celahan pagar. 

    Taktut akan grounded juga menyebabkan kami banyak berhati-hati untuk tidak membuat kesilapan di dalam kehidupan seharian. 

    8. MINTA IZIN SEBELUM KELUAR

    Sebelum keluar rumah kami wajib minta izin terlebih dahulu. Tak kiralah nak ke mana-mana. Kami akan ditanya nak pergi ke mana, dengan siapa, apa yang akan dilakukan di sana dan bila akan balik. Jadi dengan cara itu Che dan Abi tahu dengan siapa yang kami berkawan. 

    Terbiasa meminta izin sebelum keluar ini kekal sehingga sekarang. 

    9. WAJIB IKUT CHE DAN ABI PULANG

    Sesiapa saja wajib ikut apabila Che dan Abi pulang ke kampung atau ke rumah saudara mara yang lain. Tak kira sama ada balik raya atau sekadar open house. Hasilnya, kami adik beradik mengenali dengan baik hampir kesemua waris, baik di sebelah Abi atau sebelah Che. 

    Nak duduk di rumah juga? Silakan tetapi kad Astro akan dibawa atau disorok. 

    10. DIAJAR BERSEDEKAH

    Kami diajar untuk memberi sejak dari kecil lagi. Abi tak pernah lupa memberi aku seringgit dua pada setiap hari Jumaat untuk dimasukkan ke dalam tabung. Che dan Abi tidak pernah gagal untuk memberi  kami syiling di pasar malam untuk diberi kepada peminta sedekah. Malah kucing yang datang ke meja makan, kami sekeluarga biasanya akan mendapat rezeki. 

    Kucing hanya akan dihalau jika kedua kakinya sudah naik ke atas kerusi. Kakak sulung yang takut dengan makhluk tersebut. 

    11. HORMAT

    Kami diajar untuk menghormati sesiapa sahaja. Kami diajar untuk berterima kasih kepada pakcik-pakcik yang bekerja mengutip sampah. Menutup hidung apabila nampak mereka adalah satu perbuatan yang tidak sopan.

    Penjual karpet atau makcik jual keropok tidak pernah dihalau. Malah sesiapa sahaja yang datang mengetuk pintu rumah biasanya akan disediakan air selepas seharian mereka berpanas mencari rezeki. Tidak kira sama ada yang datang adalah pemotong rumput atau kanak-kanak yang bekerja meletakkan kertas iklan di rumah-rumah. 

    Cuma sekarang perlu lebih berhati-hati akibat manusia semakin ramai yang berpura-pura.

    12. JAGA SILATURRAHIM SESAMA JIRAN

    Abi dan Che sangat menjaga hati jiran. Ada sahaja lauk yang dibungkus ole hChe dan kami akan bergilir-gilir mengetuk pintu rumah memberi kepada jiran-jiran. 

    Biasanya juga akan ada orang yang datang ke rumah kami mengadu masalah. Kami akan curi-curi dengar dari sebelah dalam. Che dan Abi akan cuba juga untuk membantu semampu yang mungkin. 

    13. TAK DIAJAR HIDUP MEWAH

    Abi tidak pernah mengajar kami hidup mewah walaupun Abi boleh dikatakan bergaji besar. Abi boleh saja memilih untuk bertukar-tukar kereta mewah atau membeli rumah idamannya. Tetapi Abi lebih suka menggunakan kereta Proton Satria atau Mercedes lamanya untuk membawa kami berjalan-jalan. Dan kadangkala kami sepuluh anak beranak bergerak menaiki dua kereta kerana tak muat. 

    Masa Abi juga banyak dihabiskan dengan anak-anak walaupun Abi sibuk. Jarang atau rasanya tidak pernah Abi keluar melepak di kedai mamak sehingga lewat malam. Selepas solat, biasanya kami sekeluarga akan bersembang. Juga semasa makan. Bahkan jika keluar makan di luar juga kami banyak berkomunikasi. 

    Aku tahu, ini mungkin hanya 10% daripada keseluruhan yang Che dan Abi terapkan kepada kami. Tetapi ini adalah antara yang aku ingat dan aku akan cuba untuk terus berkongsi. InshaAllah. 

    Aku tidak tahu sama ada ianya masih relvean untuk generasi hari ini tetapi apa yang pasti, inilah didikan yang menjadikan kami 8 adik beradik menjadi manusia berisi. Didikan luar biasaakan menghasilkan generasi yang luar biasa dan begitu juga sebaliknya. - Musa Nuwayri | PIXEL MEDIA

    Posted: 16 Aug 2016 11:36 PM PDT
    Kisah 'Seksanya Hidup Bersuamikan Lelaki Hipokrit, Tolonglah saya' sama seperti apa yang saya pernah lalui. Bezanya, saya tak ada anak.
    2007-2013, saya tidak meminta keluarga atau sesiapa untuk membantu. Berulang kali saya cuba lari tetapi dikejar dan hampir membunuh diri. Saya telah bermacam-macam ubat sampai khayal disebabkan ubat batuk yang tamat tempoh. Ubat selsema, Gaviscon semua saya telan, saya biarkan diri saya khayal agar saya tidak merasa sakitnya.
    Saya dihina, dimaki di depan orang ramai. Setelah puas didera secara mental dan fizikal, dalam keadaan tak tentu arah, dalam keadaan pening disebabkan ubat-ubat yang ditelan, akhirnya saya mengalah dan mula bersolat mendekatkan diri dengan Allah.
    Saya tak peduli bila suami menghina saya ketika solat, malah dia naikkan volume televisyen. Saya menangis dalam sujud, meminta pertolongan dari Allah. Saya sedar doa saya tidak diterima kerana saya mungkin khayal dengan segala ubat yang saya telan.
    Saya nusyuz, lari dari rumah tanpa izin suami. Saya hina tetapi saya yakin, meskipun doa saya tidak layak diterima, sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Mengetahui. Jika dia bukan untukku, batulah saya keluar dari semua ini. Jika dia untukku, bukakanlah hati saya untuknya dan satukanlah kami. Saya penat berkata-kata dengan manusia. Allah, saya ingin meluahkan segalanya yang terpendam tetapi tidak terluah. Ya Allah, bantulah saya.
    Tetapi bila satu, hanya dengan satu hinaan disebab saya tidak menjawab panggilan suami, tiba-tiba saya rasa tenang dan berani. Saya rancang semua di saat akhir agar keluarga dan rakan-rakan tidak terlibat. Saya melarikan diri selama 3 bulan. Dalam keadaan sakit, lemah dan lapar, saya membawa diri dan barang-barang penting sahaja.
    Sejak dari itu, saya menyepikan diri. Seminggu sekali saya periksa sim kad lama. Ada satu masa saya rasa sebak, menangis dan rasa kasihan bila mendapat mesej dari suami bahawa dia lapar dan tiada duit. Dia hanya makan nasi dengan kicap. Dia mesej pun dia minta duit.
    Saya ambil masa beberapa minit berfikir, apakah perlu untuk membantunya? Saya ambil keputusan untuk menghubungi jiran bilik sebab kami sewa bilik yang mana kami juga berkongsi dapur. Saya terdiam bila jiran memberitahu yang bekas suami makan sedap setiap hari. Beras pun beras mahal. Rupanya saya tertipu.
    Sejak dari itu, saya rajinkan diri ke pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, jumpa pengarah dan beliau banyak membantu saya, buat laporan polis, pergi ke hospital untuk kaunseling.
    Ketika di balai polis, laporan saya tetap diterima meskipun bukti yang menyatakan diri saya didera tiada langsung. Tetapi mereka rujuk di Balai Polis Labuan yang saya pernah membuat laporan sebelum ini namun telah ditarik balik di mana pada masa itu, saya datang ke balai dengan muka bengkak, bibir dan dagu berdarah, lebam-lebam.
    Setelah berulangkali menjalani sesi kaunseling dan terapi di hospital, mereka mengesahkan bahawa saya mengalami penderaan mental dan fizikal. Laporan kes saya setebal satu fail untuk tuntutan cerai fasakh. Ini kerana saya kurang yakin jika saya sekadar menuntut cerai begitu sahaja, sebab suami pernah bersumpah mahu membunuh saya dan pernah hampir membunuh saya! Saya risau kalau keluarga saya diapa-apakan. Pernah sekali dia mengugut mahu merogol adik dan mak saya jika saya tidak mengikutnya.
    Setelah 3 bulan, saya memberanikan diri menelefon dan mengugutnya kembali. Akhirnya dia minta cerai secara baik di mahkamah sebab dia tidak mahu dilabelkan sebagai dayus bila saya menuntut cerai. Saya diceraikan dengan talak satu di mahkamah.
    Sebelum ini, pada tahun 2010, kami pernah bercerai disebabkan buruk sangka dan fitnah yang dia lemparkan. Sejak dari 2010 itu hati saya sudah tertutup rapat untuk dia. Tetapi saya masih menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri sebab takut, takut tiada syurga untuk saya.
    Ketika berdepan dengan hakim, saya tidak beberapa yakin untuk diceraikan kerana saya yang memohon. Dan ramai orang kata adalah susah untuk cerai jika si isteri yang membuat permohonan cerai. Sebelum kami dipanggil, memang ada beberapa kes yang ditangguh, tetapi bila tiba giliran kami, hakim seolah-olah memaksa bekas suami lafazkan cerai. Alhamdulillah, akhirnya saya dilepaskan. Saya tak kisah orang pandang hina pada saya, berstatus janda pada usia muda atau apa sekali pun. Hakim ada menetapkan beberapa perkara yang suami pergi beri dalam tempoh idah 3 bulan. Tetapi saya menolak.
    Di awal perceraian kami, bekas suami pernah meminta tolong untuk bayar hutang atau hulur duit sedikit sahaja. Tetapi saya menolak.
    "Saya lebih rela cari duit sendiri. Jangan pernah munculkan diri di hadapan saya lagi sebab saya tak akan teragak-agak untuk membunuh awak dan memijak awak seperti mana yang awak pernah katakan kepada saya dulu!"
    Dia terkejut dengan keberanian saya, dia tak sangka saya berubah menjadi begitu.
    "Saya tak nak berdendam tetapi hati saya bengkak kerana penderitaan yang tidak tertanggung selama ini," kata saya padanya.
    Saya menyangka selepas bercerai saya mampu melupakan semuanya. Tetapi hakikatnya saya tidak mampu menghapuskan semua memori. Bila lalu di kawasan tempat tinggal lama, saya menjadi sebak. Saya menangis meraung-raung, meronta-ronta seolah-olah saya masih berada di tempat yang sama. Saya ternampak siapa diri saya yang dulu, bagaimana saya didera oleh bekas suami.
    Meskipun sekarang saya bahagia, namun saya tidak mampu menghapuskan segala kesakitan yang pernah dilalui. – Cik Lu Lu | PIXEL MEDIA
    Posted: 16 Aug 2016 07:02 PM PDT

    TERBONGKAR !! Pelajar Kolej Sembunyi Mayat Bayi Dalam Almari

    SEREMBAN: Seorang pelajar terkejut apabila menemui mayat bayi perempuan yang baru dilahirkan, dalam almari milik rakannya di asrama sebuah kolej swasta di Seremban 2 di sini, hari ini.

    Gambar hiasan

    Mayat bayi yang cukup sifat itu ditemui kira-kira jam 2 petang oleh pelajar itu, ketika mahu mencari ubat sakit perut milik rakannya.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata pelajar itu tidak mengetahui rakan sebiliknya berusia 22 tahun mengandung atau melahirkan anak dan hanya menyangka dia sakit perut akibat apendiks.

    Katanya, terdahulu pelajar itu membawa rakannya ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini semalam, untuk mendapatkan rawatan selepas mengadu sakit perut yang teruk.

    "Rakannya dimasukkan ke wad untuk pemeriksaan lanjut dan Pegawai perubatan kemudian meminta pelajar itu mencari ubat yang berkemungkinan menyebabkan rakannya sakit perut.

    "Pelajar berkenaan pulang ke asrama untuk mencari ubat di dalam almari rakannya dan menemui mayat bayi dibalut tuala yang diletakkan di dalam plastik.

    "Siasatan mendapati suspek mengaku mengadakan hubungan seks dengan teman lelaki sejak Disember lalu dan melahirkan bayi dalam tandas asrama awal pagi semalam," katanya di sini, hari ini.

    Muhamad Zaki berkata, suspek turut mengakui memotong sendiri tali pusat bayi menggunakan gunting dan membuangnya dalam mangkuk tandas.
    Katanya, polis turut merampas gunting yang digunakan suspek, manakala mayat bayi dihantar ke HTJ untuk bedah siasat.

    "Kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran," katanya.

     Sumber: Berita Harian

    Tiada ulasan

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad