Puas Sudah Berikhtiar, Ustaz Pun Sudah Banyak Jumpa Minta Doa & Dirawat, Tapi Inilah Anak Kadang-Kadang...

Puas Sudah Berikhtiar, Ustaz Pun Sudah Banyak Jumpa Minta Doa & Dirawat, Tapi Inilah Anak Kadang-Kadang...

Puas Sudah Berikhtiar, Ustaz Pun Sudah Banyak Jumpa Minta Doa & Dirawat, Tapi Inilah Anak Kadang-Kadang...Setiap insan tidak pernah lari dari melakukan kesilapan, sama ada tua atau muda. Mungkin ada kesilapan masa lampau yang telah dilakukan, masih lagi memberi kesan sehingga kini.

Begitulah kisah yang dikongsikan oleh seorang guru ini, iaitu Cikgu Asmadi Samad yang mana dengan taubat seorang ayah, telah memberi sinar baharu, juga menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan anaknya.

Puas Sudah Berikhtiar, Ustaz Pun Sudah Banyak Jumpa Minta Doa & Dirawat, Tapi Inilah Anak Kadang-Kadang...



Mari kita ikuti kisah ini menerusi perkongsian Cikgu Asmadi. 

Taubat dan doa seorang ayah

Aku masih ingat betapa teriknya matahari pagi hari itu. Memeritkan kulit seolah tiada belas kasihan. Laju peluh mengalir menyebabkan badan menjadi semakin tidak selesa. Namun tidak bagi seorang anak berusia 10 tahun ini. Terus mengurung diri, menggeliat sambil teresak-esak menangis enggan keluar dari kereta milik ayahnya.

Si ayah sudah semakin gusar menunggu di luar kereta. Sengaja dimatikan enjin kereta dengan harapan anaknya keluar dari kereta kepanasan namun gagal. Si anak nekad. Sungguh nekad.

"Puas dah saya ikhtiar cikgu. Ini dah masuk minggu ke 3 dia enggan ke sekolah. Bos saya pun dah bising saya asyik masuk lewat kerja. Macam-macam cara dah cikgu saya ikhtiar. Habis ustaz dah yang saya jumpa minta di doakan dan di rawat. Maknya pun dah asyik berendam air mata melihat anaknya begini." Adu si ayah kepada kami.
Aku dan seorang lagi rakan sejawatku, seorang ustaz, hanya mampu memandangnya dengan wajah penuh simpati. Apa lagi yang mampu kami lakukan. Sudah puas kami berusaha memujuk anaknya untuk keluar dari kereta. Usaha kami gagal. Ini bukan hari pertama kami berusaha. Dan sebelum ini bukan kami sahaja yang mencuba.

Hari ini sudah masuk hari ke empat dan sudah ramai juga guru-guru lain yang mencuba. Bermula dari asalnya kereta diletak di luar pagar sekolah sehinggalah akhirnya masuk ke kawasan sekolah, masih juga tidak mahu dia turun. Habis segala punca cuba diteroka namun semuanya di sahut dengan gelengan kepala si anak.

Anak lelaki berumur 10 tahun itu seolah-olah begitu takut dan nekad untuk terus menggeliat di tempat duduk belakang kereta si ayah. Enggan turun dan masuk ke kelas seperti tahun-tahun sebelumnya. Sekolah ini bukan kawasan baru untuknya. Ini sudah tahun keempat dia bersekolah disini. Namun sungguh menghairankan, di pertengahan tahun ini dia seolah-olah begitu takut untuk bersekolah.

Dalam jeruk peluh yang semakin menggila itu, aku menjadi semakin kaku dan tidak selesa apabila si ayah tiba-tiba menangis. Menekup dua telapak tangannya ke muka cuba menahan airmata yang tumpah dengan laju.

"Tolonglah cikgu. Saya dah tak tahu nak buat macam mana", rayu si ayah. Airmatanya semakin laju. Suaranya tersekat-sekat mengiringi tangis sendunya sendiri.

" Allah..tolonglah Ya Allah..." Seruan itu mengiringi tangis sendu si ayah. Sungguh sarat dengan pengharapan.


Sebak juga aku melihatnya. Aku juga seorang ayah. Dan aku membayangkan bagaimana sekiranya aku berada dalam kondisinya. Aku hanya mampu memandang wajah rakan sejawatku yang kemudiannya menghayunkan langkah mendekat kepada si ayah.

" Insyaallah Encik. Kita sama- sama usaha dan doa supaya Allah lembutkan hati dia untuk kembali bersekolah. Encik bawa balik dulu anak encik. Selesaikan dahulu apa yang patut. "

Sungguh, kata – kata yang kami lontarkan kepada si ayah itu sebenarnya ibarat pisau yang menghiris tangan sendiri. Kami sendiri kesal dengan kelemahan kami yang tidak mampu dan berupaya memujuk si anak setelah sekian lama.

Longlai si ayah kembali masuk ke dalam kereta. Mengesat air mata dan menoleh ke belakang melihat si anak yang turut teresak-esak menangis di belakang kereta. Kemudian berlalu meninggalkan kami yang turut sesal dengan apa yang berlaku.



Hari dan minggu terus berlalu. Aku semakin melupakan kisah anak ini kerana kekangan komitmen lain di sekolah. Sehingga pada satu hari aku terdengar namaku di panggil kuat dari tingkat atas oleh seorang murid.

Aku mendongakkan kepala ke arah datangnya suara itu. Si anak yang masih terakam kedegilan keengganannya keluar dari kereta si ayah kini dengan wajah senyum dan gembira melambaikan tangan kepadaku. Antara percaya dengan tidak aku membalas lambaian tangannya. Lama aku melemparkan senyuman kepadanya sebelum dia kembali berebut-rebut dengan rakannya masuk ke kelas dan menghilang dari pandanganku.

Aku bergegas mencari guru kelasnya. Katanya sudah hampir seminggu dia hadir ke sekolah. Syukur Alhamdulillah. Lewat pada hari itu saat waktu pulang dari sekolah aku bertemu semula dengan si ayah. Bertanyakan formula dan rahsia memujuk anaknya untuk ke sekolah.

" Tak tahu cikgu. Sejujurnya saya dah habis ikhtiar dan tak tahu macam mana nak buat lagi dah. Setiap kali saya tengok dia memang saya jadi sebak, risau dan bersalah. Saya hanya mampu beristigfar. Saya doa pada Allah minta supaya janganlah sebab dosa saya anak saya jadi begini.

"Saya istighfar mohon ampun dari Allah sungguh-sungguh. Waktu itu cikgu saya terbayang satu-satu benda tak baik yang saya pernah buat. Saya jadi takut. Takut kalau-kalau inilah balasan yang Allah nak beri kepada saya."
Tak putus-putus saya istighfar dan berdoa. Sehinggalah satu hari sewaktu saya berbual dengan dia, tiba –tiba dia kata esok dia nak pergi sekolah. Saya tergamam cikgu. Dan malam itu pada saya adalah malam yang saya rasa paling panjang dalam hidup saya. Antara ragu akan kebenaran niat anak saya dan pengharapan saya pada Allah menyebabkan tak dapat tidur malam itu. Tapi itulah agaknya cikgu, bila kita dah terlalu buntu. Akal logik kita dah tak boleh proses dah. Waktu tu baru kita boleh nampak kuasa Allah swt.

Keesokan harinya, dia bangun sendiri, sembahyang subuh dan terus bersiap untuk ke sekolah. Itupun saya masih bimbang takut dia buat lagi perangai berkurung dalam kereta. Tapi Alhamdulillah saya pimpin dia ke pintu pagar sekolah dan dia terus masuk ke kawasan sekolah. Waktu dia paling melambai tangan ke arah saya tu, memang tumpah air mata saya cikgu. Syukur sangat-sangat. Tak boleh nak gambar dan bayangkan betapa gembiranya hati saya cikgu." 

Si ayah menanggalkan cermin matanya. Mengesat airmata yang bergenang dengan sapu tangan yang dikeluarkan dari poket bajunya.
" Inilah anak ya cikgu. Kadang-kadang melalui mereka Allah ingatkan kita semula kepadaNya. Melalui mereka Allah panggil balik kita yang dah jauh ingatan kita padaNya. Di usik hati kita melalui anak- anak ini untuk sentiasa bertaubat kepadanya. Astaghfirullahal A'zim. Allahu Akbar. 
Lafaznya seolah-olah melepaskan satu hembusan rasa syukur yang tidak terhingga.

Aku menggenggam seerat mungkin tangan si ayah sewaktu berjabat salam dengannya. Seerat untaian nasihat yang secara tidak langsung beliau ungkapkan kepadaku. Wahai si ayah, kalau kiranya melalui anakmu Allah menarik kembali cintamu kepadaNya, maka kini melalui kamu pula si ayah Allah menarik kembali hatiku kembali padaNya.

Aku juga punya anak. Dan aku juga punya dosa dan contengan arang hitam dalam sejarah hidupku. Kadang-kala aku juga sering mengeluh dan bising dengan perangai dan tingkahlaku anak-anak yang tidak seperti aku harapkan.

Aku mencari pelbagai solusi dari sudut sains kemanusiaan, psikologi dan ilmu falsafah keibubapaan, namun aku lupa untuk kembali mengadu kepada Pencipta, menginsafi kelemahan diri dengan bertaubat dan beristighfar serta memohon petunjuk dan hidayah dariNya.

Masih kuat dalam ingatanku airmata, pengharapan dan doa si ayah saat si anak membatu di dalam kereta. Seolah-olah waktu itu aku menyaksikan keluarnya untaian doa yang benar-benar tulus dan penuh pengharapan. 

Doa setelah segala usaha dan ikhtiar tidak memberi sebarang erti. Baik usaha ibu dan ayah mahupun para guru. Dan pada ketika itu hanya taubat, istighfar dan doa yang bersungguh-sungguh dari seorang ayah menjadi kunci untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Rakan-rakan yang budiman, 
Aku coretkan pengalaman dari kisah ini buat diriku serta kalian yang juga bergelar ayah. 
Andainya kalian bertemu kesulitan dan pelbagai ujian dalam membesarkan anak-anak ini, kuatkanlah taubatmu, perbanyakkanlah istighfar dan berdoalah dengan ikhlas. Dari Dia kita datang, Kepada Dia jugalah kita serahkan segala urusan.

Asmadi Abdul Samad 
Ayah yang serba kekurangan.

- Siakap Keli

Artikel IniKalilah© Lainnya :

0 komen:

Catat Ulasan

Scroll to top